Wednesday, August 29, 2007

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KE 50 KEMERDEKAAN KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA

MERDEKA dalam pengertian politik tidak terbatas kepada pembebasan dari kuasa penjajah saja. Merdeka juga bererti kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya. Sehubungan itu, dalam kemeriahan pelbagai pihak mengadakan sambutan jubli emas kemerdekaan, kita juga perlu secara serius berfikir mengenai pelbagai persoalan pokok berkaitan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan untuk diteruskan bagi memartabatkan Malaysia. Persoalannya apakah cukup sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik, melaungkan ‘Merdeka’ dan berarak ke serata pelusuk negara sebagai tanda penghayatan kemerdekaan? Apakah cukup dengan stereotaip dan rutin tahunan berhimpun, membaca doa, mendengar syarahan merdeka dan menonton pentomen sebagai warga patriotik?

Untuk menghayati erti kemerdekaan, seperti pesanan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya rakyat menyerlahkan komitmen dan kecintaan kemerdekaan itu dalam bentuk amalan dalam semua lapangan kehidupan.Banyak cara kita boleh buktikan komitmen, jasa dan pengorbanan untuk negara. Pasukan keselamatan mempertaruhkan nyawa memastikan keamanan negara. Kakitangan sektor awam menggunakan pelbagai kemahiran untuk memacu kemajuan dalam segala bidang. Sektor swasta pula menyumbang menerusi peningkatan pembangunan ekonomi. Biar apapun bentuk khidmat kita, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Inilah modal insan yang selalu disebut Perdana Menteri sejak kebelakangan ini dalam konteks memperkasakan masyarakat Malaysia pasca kemerdekaan. Menerusi ilmu, maka dapatlah kita berkhidmat lebih efektif dan efisien mempertahankan kemerdekaan dalam semua bidang, termasuk pelestarian alam sekitar. Banyak cara boleh kita lakukan untuk menunjukkan patriotisme, komitmen dan minda kelas pertama terhadap pelestarian alam sekitar. Pada hemat saya, komitmen kita masih rendah, apatah lagi dalam konteks pelbagai isu global seperti peningkatan suhu bumi dan perdagangan karbon. Tidak ramai rasa bersalah membuang sampah merata-rata, merokok di khalayak ramai, mencemar sungai dan menebang pokok. Tidak ramai prihatin, apatah lagi sanggup menjadi pejuang dan wira untuk memastikan ekosistem seimbang. Begitu juga dari segi kesediaan membayar perkhidmatan berkaitan alam sekitar seperti pembetungan dan pengurusan sampah untuk memastikan kualiti dan keberkesanannya dapat ditingkatkan.

Dalam konteks pendidikan alam sekitar, pelbagai usaha dan promosi dilakukan pelbagai pihak khususnya Jabatan Alam Sekitar sejak awal 1970-an. Kesannya masih belum meluas, walaupun kita tidak nafikan impak ketara dalam beberapa aspek tertentu. Jika diukur dari segi natijah keseluruhannya, sungai dan longkang masih kotor (malah ada sungai utama semakin kotor), begitu juga dengan penebangan pokok dan pembakaran terbuka masih berleluasa. Isu pelupusan sampah masih belum ditangani sebaiknya. Pada hemat saya, promosi dan pendidikan alam sekitar setakat ini memang meriah, pelbagai dan meluas. Bagaimanapun, ada baiknya strategi dan pelaksanaan itu dikaji dan dimantapkan lagi. Ketika ini tumpuan program promosi alam sekitar masih berorientasi saintifik dan perundangan. Sementara pemupukan minda, budaya dan falsafah hidup secara lestari tidak begitu menyerlah.Barangkali saya tidak silap untuk mengatakan bahawa promosi alam sekitar ketika ini yang diusahakan pelbagai pihak, agensi dan media, masih belum berjaya menjangkau sempadan minda dan masih belum meresapi jiwa sehingga membina budaya dan masyarakat mesra alam. Masyarakat mesra alam mencintai keindahan dan kebersihan, sekali gus mengamalkan cara hidup sihat. Kitar semula barang terpakai menjadi amalan, sekali gus sanggup membayar bil perkhidmatan pembetungan, menanam pokok, berbasikal dan membeli barang berlabel mesra alam biarpun harganya sedikit lebih mahal. Mereka adalah pengamal prosedur dan kaedah pelestarian alam sekitar dan menjadi promotor dasar mesra alam dalam organisasi kerja dan komuniti. Dengan kata lain, promosi alam sekitar perlu diperluas tidak sekadar meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai fenomena dan hukum alam. Malah, promosi harus menonjolkan pakej hidup merangkumi pemupukan sikap, cara berfikir, jati diri, amalan salih dan budaya hidup. Dalam kemeriahan kita meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan, ada baiknya kita memperkasakan kualiti modal insan minda kelas pertama dalam diri dan organisasi ke arah pembentukan keluarga dan masyarakat mesra alam.

Selamat menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

1 comment: